Wong Shu Qi

KUALA LUMPUR – Walaupun sudah meminta maaf kerana menghisap vape di dalam Dewan Rakyat, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussien didesak pula agar memohon maaf secara rasmi.

Perkara itu diminta Ahli Parlimen Kluang (PH), Wong Shu Qi yang menyifatkan tindak tanduk Ahli Parlimen Sembrong itu bertentangan dengan Peraturan Tetap 41(d) yang mana seseorang ahli Parlimen tidak dibenarkan merokok di dalam dewan.

“Kalau ikut (di) Twitter, ada seorang pengikut media sosial telah bangkit Yang Berhormat Semberong hisap vape ketika Menteri Pengangkutan menjawab soalan ketika pertanyaan lisan.

“Yang Berhormat pun sudah mengaku salah dalam akaun Twitter beliau. Saya rasa lebih elok, lebih baik menteri berkenaan memohon maaf secara rasmi di dalam dewan yang mulia,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Shu Qi bangkit mencelah selepas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi selesai menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja bagi kementeriannya.

Timbalan Speaker, Datuk Rashid Hasnon kemudiannya memaklumkan pihaknya akan membuat penelitian terhadap perkara yang dibangkitkan itu.

Terdahulu, perlakuan Hishamuddin yang sedang menghisap vape sambil memakai pelitup muka dirakam ketika Dewan Rakyat sedang bersidang.

Perbuatan beliau itu dapat dilihat menerusi sebuah video berdurasi sembilan saat dan tular hari ini.

Meskipun mendapat kritikan daripada pelbagai pihak namun ramai juga yang memuji keberanian Hishamuddin untuk mengaku salah serta segera memohon maaf.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Hishammuddin minta maaf hisap vape dalam Dewan Rakyat