Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Rizal Nainy

KUALA LUMPUR- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) hari ini mengumumkan pelantikan Rizal Nainy sebagai Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. baharu berkuatkuasa 21 Julai lalu.

Rizal yang merupakan graduan kejuruteraan mekanikal daripada Imperial College, University of London turut memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada Charles Sturt University, Australia.

Menurut kenyataan Medac hari ini, Rizal yang menyertai SME Corp. sejak 1 Jun 2016 adalah Ketua Pegawai Pelaksanaan dan Pemantauan SME Corp. yang bertanggungjawab memantau perancangan dan pelaksanaan program-program pembangunan usahawan di Malaysia.

“Beliau mempunyai enam tahun pengalaman di dalam bidang transformasi strategik di bawah Jabatan Perdana Menteri yang memformulasi strategi serta memacu program-program transformasi ekonomi,” kata kementerian itu hari ini.

Beliau pernah diberi tanggung jawab untuk mengendalikan projek-projek berprofil tinggi termasuk bidang utama elektrik dan elektronik (terutamanya LED, semikonduktor, solar dan elektronik industri), inovasi, nanoteknologi, kenderaan elektrik, rel dan grid pintar.- MalaysiaGazette