Presiden Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah menunjukkan laporan polis mengenai isu berkenaan tular dilaman sosial tentang seorang individu yang tidak dikenali telah bercakap didalam satu klip video yang menghina Negara Malaysia, menghina agama Islam dan menghina institusi DiRaja ketika di Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 6 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) hari ini mendesak supaya pasukan agensi berita, Al-Jazeera di ibu negara diusir keluar negara dan dikenakan tindakan berat.

Presiden Abdul Rani Kulup Abdullah yang mewakili 10 gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) berkata, beliau sangat marah dan kecewa dengan penyunting dan wartawan agensi berita itu yang berani mengecam siasatan polis selain memberi amaran kepada polis untuk tidak menyiasat dan bertindak tegas ke atas mereka.

“Dia menemuramah seorang migran Bangladesh dengan laporan tidak tepat dan berbaur menghina negara, lepas itu memaki hamun tindakan siasatan polis dan memberi amaran jangan ambil tindakan pula.

“Ko (kamu) ini siapa Al-Jazeera, sila keluar dari negara ini, kami rakyat jelata berhak mempertahankan kedauatan dan maruah negara daripada dicemarkan oleh pihak asing seperti kamu.

“Kalau ada orang nak burukkan negara dan juga pihak berkuasa kami rakyat akan mempertahankannya, kenapa nak hina Malaysia. Polis sila siasat, tangkap mereka dan jatuhkan hukuman berat sekali supaya mereka takut,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi tengahari tadi.

Beliau juga menyatakan kekesalan terhadap sikap biadap editor Al-Jazeera yang angkuh dan tidak mahu meminta maaf kepada rakyat dan pihak berkuasa Malaysia selain mempertahankan laporan wartawannya yang tidak beretika dan tanpa fakta.

“Tangkap dia (wartawan Al-Jazeera) dan beri hukuman tegas, jangan berlembut kepada warga asing yang biadap seperti mereka.

“Dengan rakyat sendiri polis berkeras dan hukum, tapi orang asing pijak kepala pun berlembut pula, sangat biadap sikap wartawan dan krew Al-Jazeera.

“Saya buat laporan polis supaya tangkap wartawan Al-Jazeera kesemua yang bertanggungjawab itu dan usir keluar dari negara ini selamanya.

“Kalau boleh saya mahu pecat dan tarik balik kewarganegaraan sekiranya ada rakyat Malaysia dalam kalangan pemberita itu,” tegas beliau lagi.

Pejabat Al Jazeera, Astro dan UnifiTV digeledah, komputer dirampas

 

Tindakan ke atas Al Jazeera ancam kebebasan bersuara – CIJ