KUALA LUMPUR – “Sila berundur!

Itu gesaan bekas Menteri Pendidikan Pakatan Harapan (PH), Dr Maszlee Malik mengenai tindakan Menteri Luar Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menghisap rokok elektronik (vape) di Dewan Rakyat semalam.

Maszlee berkata, sebagai pemimpin, individu itu harus menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat.

Malah katanya, sekiranya terbukti melakukan kesalahan itu, tindakan meletakan jawatan adalah wajar.

“Gejala merokok dan menghisap vape di kalangan pelajar semakin serius dan menjadi cabaran kepada pihak pendidik dan Sekolah.

“Kepada para pemimpin jadilah contoh yang baik dan jika anda gagal menjadi contoh yang baik, sila berundur! (If you are caught red handed),” katanya menerusi akaun Twitter beliau, hari ini.

Semalam, Hishammuddin memohon maaf atas tindakannya menghisap rokok elektronik di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Sembrong itu juga berjanji tidak akan mengulangi kesilapannya.

Perbuatan itu terpapar pada kaca televisyen Dewan Rakyat ketika sesi penggulungan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong sedang berlangsung.

Hishammuddin berkata, beliau akan membayar denda yang dikenakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Berhubung isu membabitkan saya hari ini, saya mengaku ia memang kesalahan saya. Sekali lagi saya mohon maaf kepada Dewan yang mulia serta seluruh rakyat Malaysia.

“Saya janji tidak akan ulangi kesalahan ini. Saya juga tetap berpendirian bahawa tiada sesiapa boleh mengatasi undang-undang.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengenakan denda – saya akan bayar,” katanya dalam satu kenyataan semalam. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Ko nk mntak die letwk jawatan, tp Hissmuddin buatvkerja terbaik. Ko yg dulu letak jawatan tu haruz lah.. sebab x dpt handle masalah Jawi, PIBG dll
    Bungokk …

Comments are closed.