Foto Instagram Scha Al Yahya.

KUALA LUMPUR – Anak pasangan Awal Ashaari dan Scha Alyahya, Lara Alana membuat kejutan mengumumkan ibunya sedang hamil sambil menunjuk alat pengesan kehamilan menerusi video dimuat naik dalam laman Instagram (IG).

Tindakan Lara itu mengesahkan spekulasi yang mendakwa Scah yang juga seorang pengacara sedang hamil anak kedua.

Lara memberitahu ibunya kini hamil dan bakal menjadi kakak dalam video itu.
Anak sulung berusia enam tahun itu turut memaklumkan akan mendapat adik lelaki.

Menerusi kapsyen dalam video itu, Awal turut mengesahkan isterinya hamil.

“Ia menjadi hadiah paling bermakna sempena menyambut ulang tahun ke-38 pada 6 Ogos lalu. Kami menanti kehadiran anak kedua. Insya-Allah, kandungan Scha sudah masuk empat bulan.

“Doakan isteri dan anak dalam kandungan sihat. Semoga Scha dapat menjalani proses kehamilan dengan sempurna.

“Saya bersyukur atas rezeki yang dikurniakan Allah SWT ini. Saya mohon doa yang terbaik buat kami sekeluarga,” kata Awal.

Awal turut berseloroh menyatakan isterinya dalam fasa membenci melihat telefon bimbit.

“Ada kala saya pun dia benci juga,” kata Awal bergurau.

Awal dan Scha mendirikan rumah tangga pada 4 Mei 2012. – MalaysiaGazette