Ketua SU TUNTUT, Zulhelmi Mansor berjalan masuk ke perkarangan SPRM untuk membuat laporan SPRM berhubung salah laku Kerajaan Negeri Selangor di bawah Datuk Seri Amirudin Shari mengenai pendedahan Skandal ke atas Yayasan Selangor di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Shah Alam. foto MOHD ADZLAN, 07 OGOS 2020.

SHAH ALAM – Konsep penjualan aset Yayasan Selangor secara tawaran terbuka ‘First Come, First Serve’ dibimbangi akan menjerumus kepada amalan rasuah.

Ketua Setiausaha Gerakan Tuntut Malaysia (TUNTUT), Zulhelmi Mansor mendakwa, bidaan hartanah itu boleh disertai oleh sesiapa sahaja walaupun bidaan yang ditawarkan lebih rendah dari pasaran.

“Kami mengesyaki berlaku kesalahan proses penjualan dan keterangan jawapan balas yang amat tidak munasabah malah meragukan oleh pengerusi Yayasan Selangor yang juga Menteri Besar Selangor di dalam persidangan Dewan Negeri Selangor.

“Kaedah jualan ini dalam erti kata lain siapa cepat, dia dapat hanya menguntungkan pihak yang membuat bidaan rendah sedangkan jika dibuat tender terbuka, pastinya ramai pembida lain mampu beri tawaran tinggi.

“Sebab itu hari ini kami tampil ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mohon agensi ini siasat segera perkara ini,” katanya pada sidang media di luar pekarangan agensi itu, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Yayasan Selangor mengiklankan penjualan aset-aset miliknya di dalam surat khabar Selangor Kini, TV Selangor serta laman media sosial pada 18 Jun lalu.

Antara alasan langkah penjualan itu oleh Datuk Seri Amirudin Shari selaku pengerusi Yayasan Selangor ialah ia tidak ekonomikal.

Ini kerana kos penyelenggaraan dan pentadbiran adalah RM2.9 juta setahun, berbanding dengan pulangan pendapatan sewaan hanya RM123,000.

“Keterangan ini tidak munasabah dan amat meragukan kerana aset yang diiklankan sebanyak 77 unit bernilai RM45 juta.

“Selama ini pulangan aset-aset ini hanyalah 0.27 peratus setahun. Ia kurang dari 1 peratus! Ini satu nilai tidak masuk akal dan mustahil malah mustahil ia tidak disedari pengurusan sebelum ini,” katanya.

Pihaknya juga mengesyaki data yang dijelaskan oleh Pengerusi Yayasan Selangor sebelum ini dimanipulasi atau hanya direka untuk menjustifikasi tindakan pengurusan Yayasan Selangor untuk menjual aset-aset ini.

“Aset-aset ini kosong dan tidak dapat disewakan selama bertahun-tahun, sebagai contoh hartanah yang terletak di Ara Damansara.

“Kebanyakan aset ini mempunyai lokasi yang sangat baik seperti Kondo U-Tower, Petaling Jaya; Kedai di Puncak Ara Damansara, Kondo Puncak Damansara, kedai stesen Klang.

“Adalah mustahil aset-aset ini tidak dapat disewakan selama bertahun-tahun,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette