Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng semasa hadir ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan berhubung kes projek terowong dasar laut Pulau Pinang di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 07 OGOS 2020.

GEORGE TOWN – DAP Pulau Pinang meminta penyokong parti dan orang awam tidak berhimpun di luar Mahkamah Sesyen Butterworth semasa pendakwaan bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng berhubung projek terowong dasar laut di Pulau Pinang, pada Isnin dan Selasa ini.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berkata, ia bertujuan mengelak kemungkinan penularan Covid-19 dan kewujudan kluster baharu sekiranya himpunan orang ramai yang tidak mematuhi penjarakan fizikal dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“DAP Pulau Pinang berharap ahli-ahli, penyokong dan orang awam akan memahami keadaan ini dan memberikan kerjasama sepenuhnya,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, DAP Pulau Pinang melancarkan kempen ‘Solidariti dengan Lim Guan Eng’, sebagai platform untuk ahli, penyokong dan orang awam menunjukkan sokongan kepada setiausaha agung DAP itu.

Sementara itu, Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kes Guan Eng tidak akan menjejaskan proses membuat keputusan oleh kerajaan negeri mengenai projek terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion itu.

Semalam, Guan Eng, yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang,  mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan meminta rasuah membabitkan projek terowong dasar laut itu.

Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahli Parlimen Bagan itu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth pada Isnin dan Selasa ini bagi kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette