Baja tanaman keluaran FGV

KUALA LUMPUR – FGV Holdings Berhad (FGV) melalui anak syarikatnya, FGV Fertiliser Sdn Bhd mensasarkan untuk menjual 40,000 botol baja sebatian pada tahun 2021 berbanding 16,000 botol sepanjang tahun lalu.

FGV memasarkan baja jenama sendiri iaitu Sun Bear, Sunflower dan Felda Series dalam kalangan perkebun persendirian dan komuniti pertanian bandar.

Untuk memenuhi permintaan baharu bagi pembelian runcit, FGV mulai membungkus formulasi bajanya dalam botol 1 kilogram untuk tanaman rumah, pohon buah-buahan, tanaman hiasan dan tanaman lanskap dengan jenama SB45: Baja Penggalak Bunga dan Buah.

Pada bulan Julai, FGV juga telah memformulasikan jenama SF65: Baja Subur, yang sesuai untuk sayur-sayuran dan juga buah-buahan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, syarikat itu mendapat permintaan tinggi baja dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

”Ini adalah trend positif, yang mana masyarakat lebih peka mengenai jaminan makanan. Ianya memberi kami peluang untuk meneroka pasaran pengguna dengan produk sedia ada yang telah dihasilkan selama bertahun-tahun. Inisiatif kami ke segmen produk pengguna akan mewujudkan kepelbagaian, menambah nilai dan penembusan pasaran baru,” katanya.

Menurutnya, baja-baja ini diformulasikan untuk memperoleh pengeluaran yang berkualiti untuk pohon buah-buahan, sayur-sayuran dan tanaman, merangsang penghasilan buah untuk pohon buah-buahan dan membantu tanaman lain membangunkan daya tahan terhadap penyakit, yang merupakan faktor penting untuk menggalakkan pertumbuhan tanaman.

Lonjakan minat dalam aktiviti perkebunan di rumah dan pertanian bandar sepanjang tempoh PKP telah memberi peluang kepada FGV untuk mengembangkan perniagaan bajanya.

Katanya, FGV juga akan mengumumkan siri baja organik untuk memenuhi permintaan pengguna yang luas,” tambah Haris Fadzilah.

”Dengan kepakaran industri lebih 30 tahun, FGV adalah salah satu pengeluar baja sebatian terbesar di Malaysia, dengan kilang pengeluaran pertama di dunia yang mempunyai fleksibiliti untuk menghasilkan sebatian berasaskan Urea atau Ammonium Sulphate.

”Kilang ini dibina dengan bantuan pakar daripada Pusat Pembangunan Baja Antarabangsa, dan ini menjadikan FGV sebagai pengeluar baja sebatian yang unik dan sangat kompetitif di rantau ini,” ujarnya.

Baja sebatian adalah baja kimia yang mengandungi nutrien yang lengkap dan seimbang untuk tanaman melalui campuran nitrogen (N), fosforus (P) dan kalium (K) atau NPK terkandung di dalam setiap butiran.

Ketiga-tiga baja nutrien makro NPK dikenali di kalangan peminat aktiviti berkebun kerana berkesan dalam mengalakkan pengeluaran tinggi buah-buahan dan sayur-sayuran yang lebih sihat. – MalaysiaGazette