Khairul Dzaimee Daud

KUALA LUMPUR – Semua warga asing yang menetap di Singapura yang mahu memasuki Malaysia bagi tempoh yang singkat untuk tujuan rasmi dan urusan perniagaan boleh berbuat demikian melalui kemudahan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL).

RGL juga terpakai untuk warganegara Singapura yang ingin memasuki Malaysia bagi tujuan perniagaan dalam tempoh pendek, kata Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Manakala semua warganegara Singapura dan penduduk tetap di Singapura yang mempunyai Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang (PLSJP) untuk bekerja dan perniagaan boleh memasuki Malaysia melalui kemudahan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA).

Menurutnya, untuk menggunakan kemudahan RGL dan PCA ini, semua pelawat asing perlu membuat permohonan melalui sistem MyTravelPass (MPT) di pautan internet http://www.mtp.imi.gov.my bermula 10 Ogos 2020.

Selain itu, semua pelawat asing perlu memuat turun aplikasi MySejahtera dan mengaktifkan aplikasi tersebut di dalam telefon mudah alih masing-masing.

Pelawat asing yang menggunakan kemudahan RGL, penaja mereka di negara ini perlu membuat permohonan bagi pihak mereka melalui sistem MPT.

Manakala bagi pelawat asing yang menggunakan kemudahan PCA, majikan mereka di negara ini perlu membuat permohonan bagi pihak mereka melalui sistem MPT.

Untuk mendapatkan panduan lengkap tatacara permohonan dan keperluan dokumen bagi kemudahan RGL dan PCA ini orang ramai boleh melayari laman web rasmi JIM di pautan internet www.imi.gov.my dan pautan internet pihak berkuasa Imigresen Singapura di https://safetravel.ica.gov.sg

Jabatan ini menasihatkan semua pelawat asing dan warga negara Malaysia supaya sentiasa mematuhi arahan dan peraturan semasa serta peka dengan pengumuman terkini dari agensi kerajaan berhubung langkah-langkah pencegahan pandemik Covid-19.

Tindakan undang-undang yang tegas akan dikenakan ke atas mereka yang ingkar dan gagal mematuhi Standard Operation Procedure (SOP) yang telah ditetapkan, ujarnya. – MalaysiaGazette