Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Polis menahan seorang lelaki yang memakai gelang putih, iaitu satu lagi gelang arahan kuarantin di rumah, selepas didapati ingkar arahan kuarantin dengan menghadiri satu pameran di Pusat Konvensyen Setia SPICE di Bayan Baru, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt A. A Anbalagan berkata lelaki berusia 42 tahun itu yang tinggal di Bandar Baru Ayer Itam di sini, ditahan pada 5.45 petang selepas seorang pemilik gerai di pameran berkenaan menyedari gelang putih yang dipakai lelaki tersebut adalah bagi yang diarah menjalani kuarantin Covid-19.

“Lelaki tersebut ditahan oleh polis bantuan yang bertugas di pameran itu selepas dimaklumkan oleh pemilik gerai berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Anbalagan, semakan mendapati lelaki tersebut yang bekerja di sebuah kilang di Kulim, diarah menjalani kuarantin 14 hari di rumah bermula 28 Julai lepas setelah seorang pekerja kilang itu didapati positif Covid-19.

Lelaki berkenaan menjalani ujian saringan Covid-19 yang pertama pada 28 Julai dan keputusannya adalah negatif. Dia perlu menjalani ujian saringan kedua pada 10 Ogos ini, katanya.

Anbalagan berkata lelaki itu yang melakukan kesalahan mengikut Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, dikompaun RM1,000.

Beliau juga meminta orang ramai melaporkan kepada polis sekiranya mengesan individu yang memakai gelang untuk kuarantin Covid-19 berada di tempat awam bagi membolehkan tindakan diambil terhadap individu berkenaan. – MalaysiaGazette