Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan memaklumkan tiada kes baharu dilaporkan dalam kluster itu hari ini.

Sehingga jam 12 tengah hari ini, katanya, seramai 4,198 orang dalam kluster tersebut telah disaring.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, bilangan itu merangkumi saringan dari Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, dan daripada jumlah itu, 43 kes dikesan positif Covid-19; 3,235 negatif dan 920 masih menunggu keputusan.

“Saringan kontak rapat dan aktiviti pengesanan kes secara aktif diteruskan, manakala langkah pencegahan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar dijalankan di kawasan yang dikenalpasti berkait rapat dengan kluster ini.

“Situasi terkini kluster ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa kepada orang ramai, dan masyarakat diminta untuk menyemak terlebih dahulu kesahihan maklumat yang diterima sebelum mempercayai dan menyebarkan maklumat tersebut,” katanya di sini.

Dalam pada itu, tambah Dr Noor Hisham, jumlah kes positif Covid-19 di negara ini bertambah kepada 9,070 berikutan terdapat tujuh kes baharu yang dilaporkan sehingga jam 12 tengah hari ini.

Dengan itu, jumlah kes aktif kebolehjangkitan Covid-19 adalah 170 kes dan mereka telah diasingkan serta diberi rawatan.

Kata beliau, dari tujuh kes baharu yang dilaporkan itu, enam adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara melibatkan tiga warga negara Malaysia dan tiga bukan warganegara.

“Enam kes import itu adalah dari negara China (satu kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur); Yaman (satu kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur); Myanmar (satu kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur); Jepun (satu kes di Selangor).

“Pakistan (satu kes di Sarawak); dan Mexico (satu kes di Wilayah Persekutuan Labuan). Hanya satu kes penularan dalam negara melibatkan warganegara, iaitu kes saringan di tempat kerja di Negeri Sembilan.

“Beliau mempunyai sejarah bekerja di Indonesia dan telah pulang ke Malaysia pada 7 Mei lalu. Mangsa tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar,” katanya.

Sehingga kini, menurut Dr. Noor Hisham, terdapat dua kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), yang mana satu kes memerlukan bantuan pernafasan.

Bagaimanapun, katanya, tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini, yang mana kekal sebanyak 125 kes, iaitu 1.38 peratus dari jumlah keseluruhan kes.  – MalaysiaGazette