TAWAU: Warisan sedia bekerjasama dengan parti baru yang diumumkan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Presidennya Shafie Apdal berkata, kerjasama itu boleh dicapai jika agenda parti baru itu selari dengan perjuangan mengenai rakyat dan Sabah.

“Asalkan landasan perjuangan sesebuah politik itu selaras dengan apa yang kita lihat dalam penentuan hak di Sabah, kepentingan rakyat serta dasar yang kita perjuangkan,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan penyerahan lot penempatan mangsa kebakaran Kampung Tanjung Batu Otentik serta penyerahan geran tanah di daerah Tawau dan daerah Kalabakan hari ini.

Ketua menteri Sabah itu berkata demikian ketika mengulas pengumuman Mahathir semalam mengenai penubuhan parti baru yang tidak terikat atau menyokong mana-mana gabungan parti sama ada Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN). – MalaysiaGazette