KUALA LUMPUR – Masalah bumbung bocor hingga terpaksa menadah besen setiap kali hujan lebat sudah tidak terkira dan sudah menjadi perkara biasa buat Salwa Abdullah dan keluarga.
Malah insiden bumbung itu ditiup angin kencang sama sekali tidak memberikan kesan kepada wanita berusia 48 tahun itu.
Katanya, apa pun terjadi, rumah setinggan itu cukup istimewa buat dirinya yang mendiami sejak 30 tahun lalu.
Jelas ibu kepada lima anak itu, suasana rumah yang membahang ketika cuaca panas itu sudah menjadi tegal biasa buat mereka.
“Tiap kali hujan, kami akan sediakan besen untuk tadah air hujan yang menitik laju masuk melalui bumbung yang bocor
“Paling teruk insiden, bumbung rumah pernah diterbangkan angin kuat,” katanya yang bekerja sebagai tukang cuci.
Beliau berkata demikian pada program Tanggungjawab Sosial Korporat MalaysiaGazette yang melawat rumah setinggan di Kampung Pinang, Sektor C di Sungai Besi hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarang MalaysiaGazette, Noraini Razak yang menyampaikan bantuan keperluan asas dan wang tunai kepada sembilan keluarga lain yang tidak bernasib baik.
Mengulas lanjut, Salwa berkata, dia menerima ketentuan takdir apabila perlu menjaga suami yang tidak sihat dan ibu yang mengalami masalah penderaan.
Jelasnya, kehidupan yang dilalui mereka hanya berharap daripada wang gajinya sebanyak RM1,200 selain pencen suami dan sedikit bantuan daripada anak sulung yang sudah bekerja.
Menurutnya, ketika ini hanya anak bongsu sahaja yang masih belajar manakala mereka sekeluarga tidak pernah menerima mana-mana bantuan.
“Alhamdulillah walaupun tinggal di rumah setinggan ini, makan sentiasa ada dan tidak pernah putus. Cukuplah lepas-lepas hendak makan.
“Apa pun terjadi, kami sekeluarga seronok tinggal di sini kerana berada dalam suasana kampung di tengah bandar dan semangat kejiranan,” katanya.
Sementara itu, rumah setinggan Kampung Pinang yang sebelum ini dikenali sebagai Kampung Benggali didiami 14 keluarga termasuk satu keluarga tunggal daripada kaum tersebut. – MalaysiaGazette