Wan Rosdy Wan Ismail membuat pelepasan 400 sukarelawan yang terdiri daripada kakitanganjabatan negeri, badan berkanun, MajlIs Tindakan Sosial Pahang (MTSP) dan S-GLC yang ditugaskan untuk membantu kawasan terkesan akibat banjir di Kelantan

KUANTAN – Seramai  400 sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan jabatan negeri, badan berkanun dan Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP) ditugaskan untuk membantu kawasan terkesan akibat banjir di Kelantan.

Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Zulkifli Yaacob berkata, misi berkenaan akan digerakkan pada Khamis dan difokuskan ke Tumpat, Kelantan.

Pasukan sukarelawan menaiki kenderaan bas, van itu bergerak tengah malam tadi dan gimik perlepasan disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Taman Gelora di sini.

Menurut Zulkifli, misi bantuan pasca banjir sukarelawan Pahang ke Kelantan sebagai komitmen terhadap usaha kemanusiaan dan tanggungjawab sosial.

“Tumpuan akan diberikan kepada usaha pembersihan rumah dan sekolah yang terjejas, serta pengagihan bantuan kepada komuniti yang memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Zulkifli, bantuan tersebut digerakkan bertujuan untuk mempercepatkan proses pemulihan kawasan yang terkesan.

”Kesungguhan Kerajaan Pahang dalam membantu komuniti yang terjejas, terutamanya dalam menghadapi impak bencana ini dilaksanakan melalui kerjasama dan sokongan semua pihak.

“Kita menyeru semua pihak untuk bersama-sama menyokong inisiatif murni ini demi kesejahteraan bersama,” ujarnya.

Mohd Asmawi Sulaiman

Sementara itu, Pengakap Kelana Pahang antara badan sukarelawan yang digerakkan bagi membantu misi yang sama.

Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Pahang, Mohd Asmawi Sulaiman berkata, misi bekenaan disertai oleh 20 ahli Pengakap Kelana.

”Kami ada bawa sedikit kelengkapan untuk membantu misi mencuci bagi melancarkan lagi misi bantuan banjir di Kelantan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast