Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto MOHD ADZLAN

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat dua buah kluster baharu yang telah dikenalpasti hari ini di negara ini berkaitan wabak Covid-19.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster tersebut adalah Kurau dan Meranti.

Jelas beliau, Kluster Kurau yang dikesan itu mencatatkan dua kes positif yang mana kes pertama adalah kes ke-9050 yang merupakan kes positif Covid-19 dilaporkan kelmarin.

Katanya, kes kedua kluster ini adalah kes ke-9082 yang merupakan abang ipar kepada kes ke-9050 yang mana beliau telah dikesan hasil aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat.

“Susulan itu, beliau sekeluarga yang berada di Pulau Pinang telah turut disaring. Padahari ini, beliau dikesan positif Covid-19 manakala, ahli keluarga beliau yang disaring setakat ini iaitu lima orang pula dikesan negatif.

“Setakat ini sejumlah 115 individu kontak rapat telah disaring. Daripada jumlah itu, serami 106 negatif dan sembilan masih menunggu keputusan. Pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat masih diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan harian di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, Kluster Meranti mula dikesan apabila kes ke-9083, iaitu seorang petugas kesihatan dikesan positif Covid-19 semalan.

Jelasnya, mangsa mempunyai kontak kepada kes ke-8968 iaitu kes yang telah dikesan hasil daripada saringan pra pembedahan yang mana kes ini telah dilaporkan pada 31 Julai 2020.

“Setelah disiasat, kes ke-8968 didapati pernah mempunyai sejarah mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan di mana kes ke-9083 telah bertugas. Saringan kontak rapat dan aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) sedang dijalankan di mana setakat ini 15 individu telah disaring. Punca jangkitan kluster ini adalah masih di dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu, Noor Hisham memaklumkan sehingga hari ini, seramai 4,636 orang telah disaring dalam kluster itu dan daripada jumlah ini, 45 dikesan positif Covid-19. – MalaysiaGazette