Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar melahirkan rasa murka dengan aktiviti pemburuan haram di beberapa kawasan hutan di sekitar negeri ini.

Sultan Ibrahim dalam muat naik di akaun Facebook baginda turut kecewa kerana tiada sebarang tindakan dilakukan walaupun sebelum ini sudah beberapa kali membangkitkan isu pemburuan haram.

Baginda turut menerima maklumat berserta beberapa gambar mengenai aktiviti pemburuan haram berskala besar yang dilakukan malam tadi.

“Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Saya mahu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta polis segera menjalankan siasatan dan sediakan satu laporan penuh berhubung kejadian malam tadi.

“Kesemua pemburu ini juga dipercayai memiliki senjata berupa senapang patah buatan sendiri,” titah baginda.

Sultan Ibrahim turut bertitah mahukan dalang di sebalik kegiatan pemburuan haram ini serta mereka yang terbabit diheret ke muka pengadilan.

“Berdasarkan maklumat awal, antara lokasi pemburuan haram adalah di Endau-Rompin, Mersing dan Kahang. Haiwan yang diburu secara besar-besaran termasuk kancil dan landak, kemudian disyaki dijual untuk tujuan perubatan tradisional.

“Saya mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan dan juga jika senjata yang digunakan mempunyai lesen,” titah baginda.

Baginda menegaskan, secara dasarnya pemburuan adalah tidak dibenarkan di Johor kecuali untuk mengawal binatang liar di ladang atau kawasan pertanian.

“Saya mahukan polis menjalankan audit mengenai pemilikan lesen senjata api di Johor termasuk individu, syarikat serta pemilikan perladangan. Mengapa ramai sangat memiliki senapang patah? Sudah tentu ia untuk memburu.

“Saya juga mahu siasatan untuk mengenal pasti jika ada pembabitan ‘orang dalam’ di PERHILITAN dan polis yang membantu kegiatan haram ini,” titah baginda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

Comments are closed.