Logo Bersatu hitam.

KUALA LUMPUR – Selepas Bahagian Hulu Langat menjadi bahagian terbaharu mengumumkan pembubaran, Setiausaha Bahagian itu, Hassan Yusof Khan tampil menafikan perkembangan tersebut.

Menurut beliau, apa yang berlaku adalah tindakan penyokong Tun Dr Mahathir Mohamad keluar parti dan tidak berlaku sebarang pembubaran bahagian.

“Apa yang berlaku adalah tindakan beberapa individu dari kumpulan “Bersatu Blackout” yang meninggalkan parti Bersatu.

“Mereka yang terbabit tidak faham mengenai Perlembangan Parti Bersatu yang yang telah pun menetapkan prosedur dan kaedah untuk pembubaran mana-mana bahagian atau cawangan parti Bersatu,” katanya.

Awal hari ini, juga dalam satu kenyataan Bersatu Hulu Langat terbubar ekoran keputusan pembubaran itu dicapai dalam Mesyuarat Hala Tuju Bersatu Cawangan – Bahagian Hulu Langat, semalam.

Dengan pembubaran itu, lapan cawangan yang turut terbubar iaitu Cawangan Dusun Tua, Cawangan Semenyih Indah, Cawangan Bandar Rinching Seksyen 5-6, Cawangan Kuala Pajam, Cawangan Kampung Rinching, Cawangan Kampung Tanjong, Cawangan Batu 26 Beranang dan Cawangan Batu 10 Cheras.

Hassan berkata mereka yang meninggalkan parti itu jelas tidak faham akan Perlembagaan Parti.

“Hakikatnya mereka tiada hak dan tiada kuasa untuk membubarkan bahagian parti Bersatu mahupun mana mana cawangan Bersatu.

“Setakat ini bilangan individu yang keluar parti Bersatu Hulu Langat ini adalah amat kecil dan ianya dijangka tidak memberi impek yang serius terhadap kewujudan dan keberkesanan gerakan parti Bersatu Hulu Langat,” katanya lagi.

Sejak minggu lalu, beberapa pemimpin Bersatu bertindak mengumumkan pembubaran apabila sebilangan pemimpin di bahagian itu bertindak meninggalkan parti.

Antaranya adalah Bahagian Petaling Jaya, Bersatu Jeram, Bersatu Kuala Selangor, Bersatu Klang, Bersatu Bangi.

Kesemua mereka rata-rata berkata mahu menyertai parti baharu yang akan ditubuhkan bekas Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad. – MalaysiaGazette