Ibu Pejabat Polis Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima maklumat mengenai segelintir pegawai dan anggota polis disyaki melindungi premis judi haram di sekitar Sungai Buloh, dekat sini.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu pejabat polis Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya berkata, ketika ini pihaknya sedang meneliti maklumat yang diterima termasuklah premis-premis judi yang ada di sekitar Sungai Buloh.

Beliau berkata, perkara yang diteliti antaranya termasuklah serbuan dan rampasan perjudian yang telah dijalankan serta beberapa isu berkaitan.

“Jika terbukti ada pegawai dan anggota polis terlibat dalam penyelewengan tugas dan melindungi sindiket berkenaan maka tindakan tatatertib keras akan dikenakan kepada mereka.

“Sekiranya ada pegawai dan anggota polis menerima rasuah ia akan dirujuk kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada Bernama hari ini.

Bernama hari ini melaporkan SPRM akan menyiasat dakwaan terhadap pihak berkuasa yang cuba melindungi premis haram, perjudian haram dan penjualan rokok seludup di sekitar Sungai Buloh.

Sebelum ini, tular satu video yang disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook Hot Burger Malaysia serta dikongsi akaun Mohd Asri Hamid, 42, atau dikenali sebagai Asri Janggut yang mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kes judi serta mendedahkan lokasi perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supt Shafa’aton Abu Bakar menafikan dakwaan itu dan menyatakan polis telah membuka kertas siasatan serta akan memanggil pengguna laman sosial berkenaan untuk memberikan keterangan. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Bukan ke akar umbi.. tp dari akar sampai ke pucuk. Selalu sgt akar2 ja kena. Hat dok atas atas ni terlepas selalu.

Comments are closed.