Gambar hiasan.

KEPALA BATAS – Polis Pulau Pinang giat memerangi aktiviti perjudian dengan mengadakan operasi serta serbuan hampir setiap hari di premis-premis yang dipercayai menjalankan kegiatan itu terutama yang berselindung di sebalik perniagaan lain seperti kedai runcit, kedai tambah nilai dan kedai peralatan elektrik.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, sejak awal Januari hingga semalam, sebanyak 462 serbuan membabitkan kegiatan perjudian telah dijalankan oleh pihaknya dan 137 kes telah didakwa di mahkamah.

“Sepanjang tempoh sama kami telah berjaya menumpaskan sembilan sindiket perjudian membabitkan judi dalam talian, pusat panggilan dan judi dalam bangunan.

“Tidak dinafikan di Pulau Pinang memang masih terdapat kegiatan perjudian, namun kami sentiasa mengambil tindakan tegas termasuk memotong bekalan elektrik terhadap premis terlibat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelupusan Barang Kes Dadah di Stor Berpusat Polis Kontinjen Pulau Pinang, di sini hari ini.

Beliau berkata, seramai 20 orang terdiri daripada ketua dan ahli sindiket kegiatan perjudian telah didakwa menurut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) manakala sembilan individu lagi di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA).

Sementara itu, Sahabudin berkata, polis akan bertindak tegas dalam memastikan semua penduduk di Pulau Pinang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) susulan pertambahan kes baharu COVID-19 di negeri ini.

Menurutnya, satu mesyuarat dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Razak Jaafar diadakan hari ini bagi membincangkan langkah yang akan diambil dalam memutuskan rantaian penularan wabak itu dan pihak polis sentiasa mengambil tindakan penguatkuasaan, amaran serta kompaun dari semasa ke semasa.

“Kami tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak dan baru-baru ini juga kita sudah membuat tangkapan ke atas seorang individu yang melanggar arahan kuarantin, polis akan buru mereka yang ingkar,” katanya.

Setakat ini, Pulau Pinang merekodkan empat kes positif COVID-19 melibatkan Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga dan Kluster Kurau, sekali gus menamatkan status hijau negeri itu sejak tiga bulan lepas. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast