Gambar Hiasan

IPOH – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Perak mengesahkan lapan set borang pencalonan telah dibeli setakat pagi ini, menjelang hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Sabtu ini.

Pengarah SPR Perak, Mohd Nazri Ismail berkata, terdapat dua parti berdaftar dan tiga wakil Bebas membeli borang tersebut.

Tanpa menyatakan parti berkenaan, Mohd Nazri berkata, terdapat parti dan juga wakil Bebas membeli lebih daripada satu set berkemungkinan sebagai persediaan sekiranya berlaku kesilapan dalam pengisian borang.

“Pihak yang ingin menjadi calon masih mempunyai masa sehingga pukul 10 pagi pada hari penamaan nanti untuk membeli dan menyerahkan borang mereka,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau turut menasihati mana-mana individu yang ingin bertanding supaya memakai pelitup muka apabila memasuki pusat penamaan calon di Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjung Malim yang juga merupakan pusat penjumlahan rasmi undi.

Seramai 23,094 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK DUN Slim pada 29 Ogos ini yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, pada 15 Julai lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Mohd Khusairi yang mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon Pas, Muhammad Zulfadli Zainal.

Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa sebelum ini berkata, calon parti itu akan diumumkan pada Rabu ini (12 Ogos).

Semalam, sebuah portal berita melaporkan, Ahli Dewan Negara Marzuki Yahya sebagai berkata, kumpulan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengumumkan calon mereka bagi PRK DUN Slim juga pada Rabu ini. – Bernama