Foto yang dikongsi Tan Sri Abdul Hamid Bador di laman Facebook.

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkongsi gambar pertemuan dengan pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid di pejabatnya di Ibu Pejabat Bukit Aman di sini.

Turut disertakan bersama gambar yang dimuat naik di laman Facebook itu kapsyen: “Terima kasih saudara Asri, Pengasas Hot Burger Malaysia kerana sudi hadir ke pejabat saya. #PolisDanMasyarakatBerpisahTiada

Mohd Asri yang juga dikenali sebagai Asri Janggut mencetuskan kontroversi apabila beliau memuatnaik satu video tentang premis judi yang beroperasi secara berleluasa di Sungai Buloh.

Video yang viral itu menerima respon dari Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan juga Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, SUpt Shafa’aton Abu Bakar yang menafikan dakwaan tersebut.

Menurut Shafa’aton, berdasarkan statistik sehingga Julai tahun ini, polis telah melakukan 40 serbuan dan 132 tangkapan bagi kes perjudian di sekitar kawasan berkenaan.