Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz. foto AFFAN FAUZI

KUALA LUMPUR – Cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dikhuatiri boleh menimbulkan penganiayaan terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pandangan itu diberikan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz apabila memberitahu, Rang Undang-Undang (RUU) IPCMC tidak perlu dibahaskan di Dewan Rakyat.

Beliau yang mempersoalkan tindakan kerajaan terdahulu di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang hanya ingin menubuhkan suruhanjaya siasatan hanya untuk PDRM dan bukannya agensi-agensi penguatkuasaan yang lain.

“Suruhanjaya satu perkara besar dan apabila ditubuhkan ia merupakan penganiayaan terhadap polis.

“Kita dah ada Suruhanjaya Integriti Penguatkuasaan yang mana setiap agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Imigresen, Kastam dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Apabila mereka terbuka pada rasuah ketika berurusan dengan orang ramai, ada tindakan.

“Mengapa polis, betul segelintir terlibat tapi jangan menganiaya pihak polis dengan adakan IPCMC. Saya kira undang-undang dahulu penekanan ke arah IPCMC tidak wujud namun kenapa berlaku tidak adil, kalau nak buat, buat suruhanjaya untuk Jabatan Imigresen, JPJ, barulah adil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2019) 2020 di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamed Nazri memberitahu, kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak perlu meneruskan penubuhan IPCMC yang disifatkan sebagai salah satu daripada janji dalam manifesto PH.

Ujarnya, IPCMC tidak seharusnya ditubuhkan kerana PDRM mempunyai kursus integriti yang wajib dihadiri agar semua pegawai dan anggotanya memahami tanggungjawab dan tugasan yang diamanahkan. – MalaysiaGazette