Dr. Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR – Sebanyak sembilan kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di negara ini berjumlah 9,103 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif kini dengan kebolehjangkitan wabak itu adalah 169 kes dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Jelas beliau, daripada sembilan kes baharu yang dilaporkan itu, lima kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan tiga warganegara Malaysia dan dua bukan warganegara.

“Lima kes import tersebut adalah dari Jepun, India dan Pakistan iaitu satu kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, New Zealand juga satu kes di Selangor dan Singapura turut mencatat satu kes di Johor.

“Ke semua empat kes penularan di dalam negara adalah di kalangan bukan warganegara di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melibatkan tiga kes saringan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil sebelum dihantar pulang ke negara asal dan Sabah pula satu kes saringan rujukan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE).

“Tiada kes penularan di dalam negara di kalangan warganegara Malaysia dilaporkan pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Noor Hisham memberitahu, sehingga kini, terdapat dua kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau turut memaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

Justeru katanya, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 125 kes iaitu 1.37 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“KKM juga ingin memaklumkan terdapat enam kes yang telah pulih Covid-19 pada hari ini. Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 8,809 kes iaitu 96.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya. – MalaysiaGazette