Pegawai polis yang menjaga keadaan diluar perkarangan mahkamah bagi kes bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Isterinya, Betty Chew dan seorang ahli perniagaan, Phang Li Koon ketika di Mahkamah Butterworth, Pulau Pinang. foto MOHD ADZLAN, 11 OGOS 2020.

BUTTERWORTH- Sekali lagi pintu masuk Mahkamah Sekyen dan Majistret di sini menjadi tumpuan pagi ini.

Ini kerana sekali lagi bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng akan didakwa dan kali ketiga beliau didakwa sejak Jumaat lepas bermula di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Kemudian semalam di Mahkamah Sesyen Butterworth berhubung dakwaan suapan RM3.3 juta sebagai upah membantu projek terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion.

Hari ini, MalaysiaGazette difahamkan dakwaan terhadap Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP itu berkaitan sebuah ‘projek’ berlainan.

Selain Guan Eng, yang turut terpalit dengan dakwaan tersebut ialah isterinya, Betty Chew dan seorang ahli perniagaan wanita dikaitkan dengan mereka, Phang Li Koon.

Dakwaan terhadap mereka masih samar-samar dan belum dapat dipastikan kesnya tetapi difahamkan berkaitan salah guna kuasa dan pengubahan wang.

Semalam, Betty menulis di laman Facebook dirinya tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan sebaliknya hanya menjalani kehidupan biasa serta tidak sesekali terlibat dengan aktiviti haram.

Ketika ini, suasana luar mahkamah tenang malah lebih teratur berbanding semalam memandangkan polis sudah mengesahkan senarai media yang boleh membuat liputan di dalam mahkamah serta lobi.

Setakat pukul 8. 20 pagi, kelibat tertuduh juga belum lagi kelihatan. -MalaysiaGazette