Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said. foto HAZROL ZAINAL, 20 NOVEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Organisasi Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) masih lagi diklasifikasikan sebagai kumpulan pengganas oleh kerajaan Malaysia sejak 12 November 2014.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata, kementeriannya mempunyai asas kukuh untuk mengekalkan penyenaraian LTTE sebagai kumpulan pengganas.

Ini kerana katanya, kumpulan itu masih mempunyai ideologi yang boleh menimbulkan ancaman terhadap ketenteraman awam, keselamatan rakyat dan negara ini.

Malah mengikut Seksyen 66B (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001, Menteri Dalam Negeri berkuasa untuk menyenaraikan individu atau kumpulan yang terbabit dalam kegiatan keganasan sebagai Entiti Yang Ditentukan, katanya.

“Penyenaraian entiti berkenaan adalah berdasarkan maklumat perisikan dan keselamatan terkini yang diterima daripada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi kawal selia atau pengawasan berkaitan.

“Pihak berkuasa bertanggungjawab mengambil tindakan mengikut saluran undang-undang bagi membendung sebarang bentuk penyebaran ideologi berkaitan kumpulan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen (PH) tentang mengapa kerajaan tidak mengeluarkan LTTE dari senarai pertubuhan pengganas.

Mengulas lanjut Ismail, menjelaskan banyak negara lain termasuk India, Kanada, Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom juga masih meletakkan LTTE dalam senarai kumpulan pengganas.

“Saya ingin menegaskan bahawa penyenaraian LTTE sebagai kumpulan pengganas adalah tertakluk kepada kuasa Menteri Dalam Negeri yang diperuntukkan oleh undang-undang.

“Setiap kumpulan pengganas perlu dikaji semula setiap enam bulan oleh Menteri Dalam Negeri, mengikut suatu perintah di bawah Seksyen 66B (9) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.