Seorang lelaki warga Myanmar mati didakwa ditikam rakan senegaranya dalam kejadian di Seri Kembangan semalam.-Gambar hiasan.

KUALA PERLIS – Polis menahan dua lelaki yang memakai gelang merah jambu dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB), yang datang ke Kangar semata-mata untuk mengisi borang Bantuan Sara Hidup (BSH).

Ketua Polis Daerah Kangar, Supt Wari Kiew berkata, lelaki berusia 47 dan 60 tahun itu ditahan pada kira-kira pukul 11 pagi tadi ketika berurusan di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kangar setelah polis mendapat maklumat daripada orang ramai.

“Kedua-kedua mereka yang merupakan petani dari Kampung Kuala Sanglang Perlis membolosi dua Sekatan Jalan Raya (SJR) di Simpang Empat dan Kuala Perlis menggunakan jalan tikus,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, mereka disiasat mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 dan 15 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPDB di dua kampung iaitu Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul dari 10 hingga 31 Ogos, susulan penambahan kes baharu di negeri itu.

Sementara itu beberapa penduduk Kampung Kuala Sanglang di Perlis melahirkan kebimbangan mereka terhadap jalan tikus yang digunakan sebaga alternatif oleh penduduk untuk keluar dari kampung itu.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Saad, 58, berkata, jalan tikus itu terletak di antara Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul di Perlis, yang bersambung dengan jalan utama ke Jeti Nelayan, Kuala Sanglang di bahagian Kedah.

“Lorong tikus itu tidaklah besar, hanya muat untuk dilalui sebuah motosikal sahaja, tetapi ia menjadi laluan utama segelintir masyarakat setempat untuk bolos daripada PKPDB dan ia dikhuatiri akan membahayakan orang luar.

“Mereka akan menaiki motosikal melewati lorong itu untuk keluar membeli barang, malah ada remaja yang menggunakannya untuk bersiar-siar kerana bosan berada di rumah sepanjang arahan tersebut,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, hari ini.

Bapa kepada empat orang anak yang bekerja sebagai nelayan itu bimbang jika tempoh PKPDB dilanjutkan dan situasi akan bertambah parah jika terdapat segelintir penduduk yang masih degil dan melanggar peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Turut sama menyuarakan kebimbangan, seorang buruh yang hanya ingin dikenali sebagai Pak Mat, 62, yang menyatakan tindakan tidak bertanggungjawab segelintir penduduk setempat itu akan menyukarkan lagi orang ramai khususnya nelayan ke Jeti kuala Sanglang, Kedah.

“Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Laluan itu hanya menghubungkan penduduk di dalam Kuala Sanglang Perlis, khususnya nelayan untuk ke jeti berdekatan bagi meneruskan aktiviti laut mereka,” kata bapa kepada lima orang anak itu.

Sementara itu Wari Kiew berkata, bagi mengatasi masalah itu pihaknya akan meletakkan anggota bagi melakukan rondaan dan memberi nasihat kepada penduduk setempat agar tidak menggunakan jalan tersebut.

“Mungkin ramai tidak menyedari bahawa ianya adalah satu kesalahan yang besar dan Polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang masih ingkar, dengan peraturan dan SOP PKPDB,” katanya.

Beliau menasihati orang ramai khususnya penduduk di kawasan kampung tersebut untuk mematuhi arahan yang dikeluarkan kerajaan dalam menangani penularan wabak COVID-19 di negeri ini dan pihaknya akan melakukan lebih banyak hebahan, bagi memastikan penduduk setempat faham SOP tersebut. – Bernama

2 Komen

  1. saman seribu ke tidak???? . jangan lepas free je. mesti saman. tak bayar kurung sebulan. baru padan muka

Comments are closed.