Datuk Mas Ermieyati Samsudin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) memperuntukkan sejumlah RM362.79 juta bagi membantu kira-kira 20,000 peniaga yang gagal meneruskan perniagaan akibat Covid-19.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pelan pemulihan itu mengandungi 29 program jangka pendek dan sederhana.

Beliau berkata, langkah alternatif dan program mitigasi dilaksanakan Medac merangkumi program pembiayaan, latihan dan pembangunan kapasiti bagi pelaksanaan tahun ini dan tahun depan.

“Objektif utama pelaksanaan pelan pemulihan ini adalah bagi memastikan pemulihan serta kelestarian operasi perniagaan usahawan yang terjejas akibat Covid-19,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Gerik (BN), Datuk Hasbullah Osman yang meminta kerajaan menjelaskan langkah alternatif oleh Medac bagi membantu peniaga yang terkesan akibat penularan pandemik Covid-19.

Mas Ermieyati berkata, pelaksanaan pelan terbabit membabitkan dua fasa iaitu fasa pertama bermula Mei lalu hingga Disember ini manakala fasa kedua bermula Januari hingga Mei tahun depan.

Ujarnya, antara program yang dilaksanakan adalah Pembiayaan Covid Business Recovery-Micro (CBRM), Program TEKUN Business Recovery Scheme (TBRS) dan Program TEKUN Mobilepreneur di bawah TEKUN Nasional.

“Program lain adalah SME Technology Transformation Fund (STTF) dan Skim SME GO di bawah SME Bank manakala BR-CARES dan BizLady khusus untuk usahawan wanita di bawah Bank Rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette