Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah melakukan penghantaran kad pengundi kepada 23,094 orang pengundi yang meliputi 22,815 orang pengundi biasa dan 277 orang pengundi awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di Perak

Setiausaha SPR, Ikmalrudin Ishak berkata, kad itu mengandungi maklumat pusat mengundi, saluran mengundi, nombor bilangan pengundi, tarikh, masa pengundian dan cadangan masa keluar mengundi yang digalakkan.

Maklumat tersebut akan memudahkan pengundi untuk keluar mengundi pada hari mengundi awal pada 25 Ogos 2020 (Selasa) dan hari pengundian pada 29 Ogos 2020 (Sabtu).

Malah, kad tersebut turut meletakkan masa keluar mengundi yang digalakkan bagi setiap pengundi.

”SPR amat berharap pengundi keluar mengundi mengikut masa keluar mengundi yang digalakkan bertujuan untuk mengelakkan pengundi berkumpul dalam jumlah yang ramai dan seterusnya memastikan penjarakan fizikal dalam kalangan pengundi semasa berada di pusat mengundi.

“Ini adalah selaras dengan prosedur kawalan penyebaran wabak Covid-19 di bawah Akta 342 Akta Kawalan Penyakit Berjangkit yang sedang berkuat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dengan adanya kad tersebut, pengundi tidak lagi perlu menyemak saluran dan nombor bilangan pengundi dalam daftar pemilih di Barung SPR kerana kedua-dua maklumat berkaitan ada dinyatakan dalam kad tersebut.

Namun, beliau menegaskan pengundi masih perlu membawa kad pengenalan bagi pengesahan identiti untuk mengundi dan diingatkan supaya membawa kad pengundi atau catatan maklumat daftar pemilih pada hari mengundi bagi memudahkan semakan.

Mana-mana pengundi yang tidak menerima kad berkenaan boleh membuat semakan maklumat pengundian iaitu pusat mengundi, saluran dan nombor bilangan melalui portal SPR pengundi.spr.gov.my atau Aplikasi MySPR Semak atau melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) (SPR <jarak> SEMAK <jarak>
NOMBOR KAD PENGENALAN hantar ke nombor 15888 atau menghubungi talian hotline SPR di 03-8892 7018. – MalaysiaGaze

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast