IPOH – Tujuh maut, manakala tiga cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah lori dan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza di Jalan Keramat Pulai, Simpang Pulai menghala ke Cameron Highlands, petang ini.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul  5.55 petang, sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai dikejarkan ke lokasi.

Katanya, tujuh yang maut terdiri daripada lima orang dewasa termasuk tiga wanita serta dua kanak-kanak lelaki.

“Tiga mangsa yang cedera pula terdiri daripada dua kanak-kanak lelaki dan seorang lelaki dewasa,” katanya dalam kenyataan ringkas.

Operasi menyelamat sedang dijalankan dan maklumat terperinci akan dimaklumkan kemudian. – Bernama