Zahidi Zainul Abidin

KUALA LUMPUR – Sebanyak 40,000 penduduk di 93 mukim merangkumi lapan negeri akan menerima manfaat daripada pelaksanaan projek Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara 1 (NFCP 1).

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, projek oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) yang bermula pada 15 Februari lalu bertujuan menyediakan perkhidmatan jalur lebar mudah alih di 152 tapak.

Beliau memaklumkan, lapan negeri itu merangkumi Johor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Terengganu dan Sabah.

“Inisiatif ini dijangka siap dalam tempoh 12 bulan bagi 147 tapak, manakala 24 bulan untuk baki lima tapak memandangkan lokasinya yang agak jauh di pedalaman.

“Sabah akan mendapat manfaat terbesar iaitu sebanyak 50 tapak (32.9 peratus) daripada keseluruhan 152 tapak.

“Edotco Malaysia Sdn Bhd telah dianugerahkan untuk membina sebanyak 24 tapak struktur menara komunikasi manakala FGV Prodata Systems Sdn Bhd sebanyak 26 tapak.

“Setelah menara berkenaan siap dibina, U Mobile Sdn Bhd pula akan bertanggungjawab untuk pemasangan alat pemancar komunikasi dan pemberian perkhidmatan mudah alih di semua 50 tapak. Di bawah inisiatif ini, pengguna akan menikmati perkhidmatan 3G dan 4G,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen (Kota Kinabalu-PH) Chan Foong Hin yang mahu kementerian menyatakan secara terperinci butir-butir tender Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membina 50 menara telekomunikasi di bawah fasa pertama NFCP 1.

Mengulas lanjut Zahidi menjelaskan, di bawah inisiatif itu, U Mobile Sdn Bhd selaku pemberi perkhidmatan sejagat akan menjadi pemilik kepada semua 50 menara bagi memastikan kesinambungan pengoperasian dan penyelenggaraan menara telekomunikasi terbabit.

Ujarnya, pembinaan menara telekomunikasi di bawah fasa pertama NFCP1 itu akan dilaksanakan menurut rangka kerja pemberian perkhidmatan sejagat. – MalaysiaGazette