Syed Ibrahim Syed Noh.

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parlimen di blok kerajaan dan pembangkang bersatu hati menandatangani petisyen untuk mengecam dan menolak rancangan pengilhakan (penaklukan) oleh Israel.

Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, tandatangan itu diperoleh daripada lebih 130 ahli-ahli parlimen.

Katanya, petisyen tersebut menggariskan enam cadangan antaranya mengusir Israel daripada perhimpunan dan semua agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Mereka (ahli-ahli parlimen) menyatakan solidariti dan sokongan terhadap usul dan cadangan-cadangan yang dikemukakan bersama usul itu,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Syed Ibrahim menegaskan, tandatangan yang dikumpulkan menerusi petisyen itu termasuk ahli parlimen seluruh dunia termasuk Malaysia amat penting bagi mendesak Amerika Syarikat (AS) dan Israel menghentikan rancangan pengilhakan itu.

Ujarnya, petisyen berkenaan akan diserahkan kepada kedutaan AS dan kedutaan Palestin pada Isnin depan.

“Ia juga akan turut dipanjangkan kepada Kesatuan Antara Parlimen (IPU) dan Kesatuan Ahli Parlimen Serantau seperti Asean Inter-Parliamentary Assembly (AIPA).

“Ini bukan isu agama semata-mata kerana ada rakyat Islam, Yahudi dan Kristian di Palestin. Ini berkaitan kedaulatan dan kehendak untuk hidup aman dan harmoni di atas tanah dan harta sendiri bersama keluarga,” ujarnya. – MalaysiaGazette