Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berjumpa dengan para peniaga di Taman Tasik Titiwangsa hari ini.- Gambar FB.

KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa yakin masalah peniaga di Taman Tasik Titiwangsa dapat diselesaikan secara baik.

Beliau yang turun sendiri berjumpa dengan para peniaga di kawasan rekreasi berkenaan hari ini bagi mendapatkan sendiri maklum balas para peniaga terbabit.

“Saya tengok media sosial ada sikit small incident penguat kuasa DBKL jalankan tugas mereka nampak macam sikit keresahan tak puas hati.

“Saya tak faham, kadangkala dengar sebelah sahaja, kita tak dapat gambaran, siang tadi taklimat tapi untuk gambaran sebenar, saya datang sendiri tengok dan dengar sendiri daripada mereka (peniaga),” katanya ketika ditemui selepas berjumpa dengan para peniaga di Taman Tasik Titiwangsa petang tadi.

Menurut Annuar, para peniaga terbabit mendakwa mereka tidak diberi peluang berniaga di kawasan itu kerana tidak dapat memenuhi syarat tender ditetapkan DBKL selepas Taman Tasik Titiwangsa dinaik taraf.

“Tak mengapa daripada DBKL, mereka perlu buat kaedah bagi kawasan bersih, pengguna selamat, peniaga ada garis panduan tempat yang baik

“Tapi ada perkara-perkara yang perlu diberi perhatian terutama rakyat hendak cari makan, kita kena bantu jangan susahkan,” ujarnya sambil menambah kerajaan perlu melihat bukn sahaja daripada aspek penguatkuasaan tetapi juga keperluan rakyat mencari pendapatan.

“Jabatan sudah buat sesuai dengan dasar ketika itu, kita kena dengar dengan pentadbiran. Sama-sama cari idealah, peraturan dijaga dan rakyat nak cari makan secara halal kena bantu, cari jalan boleh ikhtiarkanlah,” katanya.

Terdahulu, Annuar memberitahu para peniaga supaya memberinya sedikit masa mengadkan perbincangan dengan DBKL dan mencari jalan terbaik menyelesaikan masalah mereka.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Rampas barang penjaja: Datuk Bandar DBKL diminta beri penjelasan