Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) akan terus dibantu kerajaan untuk memastikan kelangsungan perniagaan dalam menguruskan aliran tunai.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Bank-bank di negara ini mampu untuk melaksanakan pakej moratorium lanjutan kerana mempunyai dana yang mencukupi.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Abd Rahim Bakri berkata, segala keputusan untuk melanjutkan tempoh moratorium dikawal selia sepenuhnya oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dengan pembabitan Persatuan Bank-Bank Malaysia.

Katanya, sebanyak RM100 bilion daripada jumlah keseluruhan RM295 bilion Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara Prihatin (Penjana) adalah inisiatif untuk pelaksanaan moratorium yang disediakan oleh bank.

“Setakat ini, pihak bank menanggung RM66.6 bilion moratorium,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen (Jempol-BN), Datuk Mohd Salim Sharif yang ingin mengetahui sama ada bank di Malaysia berkemampuan melaksanakan moratorium selanjutnya jika keadaan ekonomi kurang memuaskan untuk tempoh akan datang.

Terdahulu, Abd Rahim menjelaskan, kerajaan akan melaksanakan moratorium bersasar selepas moratorium secara automatik tamat pada September ini, kepada individu terjejas.

Katanya, morotarium bersasar dan peruntukan fleksibiliti pembayaran balik dikhaskan untuk golongan yang memerlukan iaitu individu kehilangan pekerjaan pada 2020 dan belum mendapat pekerjaan lain, dengan lanjutan hingga tiga bulan lagi.

Jelasnya, individu yang masih bekerja tetapi terjejas akibat Covid-19 akan ditawarkan pengurangan ansuran pinjaman sepadan dengan pengurangan gaji mereka bergantung kepada jenis pembiayaan.

“Institusi perbankan akan menawarkan tempoh fleksibiliti ini selama sekurang-kurangnya enam bulan, dan institusi perbankan juga akan mempertimbangkan lanjutan fleksibitiliti untuk tempoh berkenaan dengan mengambil kira gaji peminjam pada ketika itu,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, bagi pembiayaan sewa beli, peminjam yang terjejas akan ditawarkan jumlah jadual ansuran pembayaran yang disemak semula supaya ia selaras dengan Akta Sewa Beli 1967.

Semenatara itu menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen (Pasir Gudang-PH), Hassan Abdul Karim yang ingin tahu sama ada tindakan kebankrapan boleh diambil terhadap peminjam, Abd Rahim memberitahu, tindakan undang-undang terhadap golongan itu dapat dielakkan kerana ramai yang akan mendapat faedah.

Ujarnya, proses yang sedang dilaksanakan sekarang adalah moratorium bersasar dan ramai yang akan mendapat faedah.

“Jadi, tindakan untuk melaksanakan tindakan undang-undang terhadap peminjam dapat dielakkan,” katanya.

Tambah beliau lagi, peminjam yang menghadapi masalah boleh mengunjungi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi individu, manakala Perusahaan Kecil Sederhana boleh mendapatkan bantuan Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SDRS) untuk mendapatkan nasihat pinjaman. – MalaysiaGazette