alcohol sales ban LMK license
Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Dana lebih daripada RM180 juta diperlukan bagi membolehkan pembinaan rumah generasi kedua FELDA yang kini tergendala.

Ahli Parlimen Arau (BN), Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, kerajaan diharap dapat menaikkan lagi dana sehingga RM500 juta bagi membantu menyediakan rumah kepada golongan terbabit.

“Kalau nak masukkan RM180 juta saya tak setuju kerana terlampau kecil. Mereka (generasi kedua) bukan semakin berkurangan tetapi bertambah dan tidak sewajarnya jika rumah ini dibina jauh dari kawasan pertumbuhan.

“Seperti Perumahan Prima yang memberi tumpuan kepada golongan pertengahan di kawasan pinggir bandar yang akan dapat tambah nilai. Kalau jauh, tiada nilai tanah rumah.

“Maka perlu dibina di kawasan strategik atau perancangan masa akan datang ia dibuka di kawasan bandar baharu. Kita menyokong peruntukan ini ditambah kepada RM500 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2019) 2020 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Jempol (BN), Datuk Salim Sharif meminta penjelasan daripada pihak kementerian bagi menyatakan harga sebenar Perumahan Generasi Kedua Felda (PGBF) sama ada mengekalkan RM90,000 seunit atau merendahkannya lagi.

Beliau turut memberi cadangan supaya kerajaan melakukan kerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan kerajaan negeri agar dapat menjimatkan masa di samping boleh menjimatkan kos.

“Banyak cara, kita kerjasama dengan GLC syarikat-syarikat negeri supaya tanah ini kita serah pada generasi kedua yang boleh dilakukan oleh generasi itu sendiri.

“Konsep harga RM63,000, RM83,000 boleh dilakukan mengikut kemampuan yang mereka ada dengan bayaran minimum,” jelasnya. – MalaysiaGazette