Che Abdullah Mat Nawi
Che Abdullah Mat Nawi

KUALA LUMPUR – Malaysia sedia untuk berkongsi pengalaman dan inisiatif yang dilakukan kerajaan dengan negara dalam Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) bagi merancakkan semula aktiviti pertanian, pengeluaran makanan dan memulihkan ekonomi petani kecil.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara Prihatin (PENJANA).

Katanya, pasca Covid-19 yang berlaku menjadi satu cabaran kepada isu keselamatan makanan khususnya rantaian makanan dalam kalangan ekonomi negara-negara APEC.

“Perintah lock down atau sekatan perjalanan yang dilaksanakan bagi mengawal penularan wabak juga memberi impak kepada petani kecil disebabkan gangguan perkhidmatan logistik dan akses pasaran yang terhad.

“Malaysia sebagai tuan rumah APEC 2020 bersama 20 ekonomi lain masih meneruskan komitmen di peringkat serantau melalui pernyataan menteri-menteri bertanggungjawab bagi perdagangan APEC yang dikeluarkan pada 5 Mei lalu bagi memudahkan aliran barangan dan perkhidmatan penting untuk memerangi pandemik Covid-19 termasuk ubat-ubatan, bekalan dan peralatan perubatan, pertanian dan produk makanan serta bekalan lain merentasi sempadan.

“Selain itu, mengurangkan gangguan kepada rantaian bekalan global bagi menggalakkan perdagangan antara ekonomi APEC seperti yang disarankan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO),” katanya pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Kemaman (Pas), Che Alias Hamid yang ingin tahu langkah strategik dan peranan diambil kementerian untuk memastikan kejayaan Pelan Tindakan Keselamatan Makanan APEC.

Mengulas lanjut Che Abdullah berkata, komitmen itu diperkukuhkan lagi menerusi persidangan maya menteri-menteri bertanggungjawab bagi perdagangan yang dipengerusikan Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang disertai Menteri Perdagangan 20 ekonomi APEC lain pada 20 Julai lalu.

Katanya, kerjasama dan peranan aktif daripada sektor swasta melalui Majlis Penasihat Perniagaan APEC juga turut diberi perhatian bagi memastikan pemulihan ekonomi selepas Covid-19 yang lebih mampan dan membawa penyelesaian serantau jangka panjang.

Sementara itu, beliau berkata, kajian semula Pelan Tindakan Keselamatan Makanan APEC adalah satu keberhasilan dan komitmen Malaysia dalam menerajui agenda keselamatan makanan dan pembangunan mampan di rantau Asia Pasifik.

Ujarnya, kajian itu akan menilai pencapaian ekonomi APEC berdasarkan matlamat seperti digariskan dalam pelan tindakan merangkumi pembangunan lestari sektor pertanian dan perikanan, fasilitasi pelaburan dan pembangunan infrastruktur serta pembangunan perdagangan dan pasaran.

“Ia juga akan meneliti cabaran dan impak Covid-19 terhadap keselamatan makanan dalam kalangan ekonomi APEC,” ujarnya. – MalaysiaGazette