KUALA LUMPUR- Moody’s Corporation membeli pegangan minoriti di dalam syarikat penarafan kredit untuk bon domestik dan pasaran sukuk, Malaysian Rating Corporation Bhd. (MARC).

Urus niaga itu akan mengukuhkan lagi kedudukan Moody’s di Asia Tenggara dan pasaran bon domestik di peringkat global selain meningkatkan kedudukannya sebagai peneraju kewangan Islam.

“Pasaran bon domestik Malaysia yang bagus memberikan peluang menarik kepada Moody’s dan kami gembira dapat menjalin kerjasama dengan MARC serta portfolionya dalam penarafan dan perkhidmatan,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Moody’s Investors Service Asia Pacific, Wendy Cheong dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MARC, Datuk Jamaludin Nasir, syarikat itu pernah menjadi peneraju dalam penarafan sukuk dan memberi penarafan kepada terbitan sukuk korporat tunggal terbesar dan sukuk-sukuk lain.

“Kerjasama strategik dengan Moody’s ini mengukuhkan lagi komitmen MARC terhadap kelestarian pembangunan pasaran modal Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan berasingan.- MalaysiaGazette