Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR- Aktiviti pengesanan kes secara aktif yang dijalankan terhadap 34 pelajar dan lapan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Pantai dekat sini adalah langkah proaktif biasa yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mencegah risiko penularan wabak Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, langkah itu diambil sementara menunggu pengesahan ujian makmal ke atas saringan Covid-19 seorang pelajar Tingkatan Lima di sekolah berkenaan.

Katanya, KKM telah menerima laporan daripada sekolah terbabit mengenai satu kes bergejala yang melibatkan seorang pelajar dan kemudiannya telah menjalankan siasatan.

Hasil siasatan mendapati pelajar berkenaan telah mengalami gejala muntah dan cirit-birit pada 9 Ogos lalu dan dibawa ke sebuah klinik swasta pada keesokan harinya.

Dia kemudiannya dipindahkan ke sebuah pusat perubatan bagi rawatan lanjut dan telah disaring untuk demam denggi serta Covid-19.

“Keputusan saringan demam denggi terhadap pelajar berkenaan didapati positif namun pengesahan ujian Covid-19 sedang dijalankan di makmal bagi memastikan tiada tindak balas silang semasa ujian yang mungkin boleh berlaku memandangkan beliau dijangkiti demam denggi,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, kesemua 34 pelajar dan lapan guru itu telah dikenal pasti sebagai kontak rapat pelajar berkenaan.

Daripada jumlah itu, seramai 28 orang telah disaring manakala 14 lagi telah diarahkan untuk hadir ke Klinik Kesihatan untuk persampelan.

“Semua individu yang telah disaring ini diarahkan untuk menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) sebagai langkah pencegahan.

“Selain itu, proses nyah cemar dan nyah kuman telah dijalankan ke atas kes bergejala ini dan semua kontak rapat beliau akan dipantau oleh KKM.

“Situasi semasa akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya lagi.

Ujarnya, kes Covid-19 hanya akan dilaporkan sebagai positif selepas ianya diumumkan KKM.

“Laporan sumber lain dianggap spekulasi sehingga siasatan dijalankan dan disahkan oleh KKM,” tegasnya.

Semalam, SMK Sri Pantai mengeluarkan satu kenyataan yang mengatakan salah seorang pelajar sekolah berkenaan telah disahkan positif Covid-19.

Dengan itu, saringan telah dibuat ke atas semua pelajar di kelas yang sama dengannya serta guru yang mengajar.

Ia susulan sekeping gambar yang tular menunjukkan sekumpulan pelajar memakai gelang merah jambu HSO selepas selesai menjalani saringan Covid-19.- MalaysiaGazette