Syarikat Metronomik dengan video ‘No Straight Roads’.

KUALA LUMPUR – Syarikat pencipta permainan video tempatan, Metronomik bakal melancarkan permainan video sulungnya di peringkat antarabangsa berjudul ‘No Straight Roads’ pada 25 Ogos ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Metronomik, Wan Hazmer Wan Abd Halim berkata permainan video ciptaan anak tempatan itu berkonsepkan muzik dan menampilkan pelbagai ciri Malaysia termasuk penggunaan seni dikir barat.

“Permainan video ini mengisahkan kumpulan kugiran rock yang mencipta muzik tulen menentang empayar Muzik Dansa Elektronik (EDM).

“Banyak unsur Malaysia diketengahkan dalam permainan video ini antaranya wayang kulit, lagu dikir barat dan disertakan dengan sari kata Bahasa Malaysia. Malah suara pelakon yang digunakan dalam permainan video ini juga anak tempatan,” katanya.

Wan Hazmer berkata demikian dalam program Temu Minda: ‘No Straight Roads’ Dalam Kerjaya Kreatif bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah, sebagai moderator program itu yang disiarkan menerusi saluran televisyen RTM 1 malam ini.

Permainan video itu boleh didapati menerusi PlayStation 4, Nintendo Switch dan Xbox One.

Dalam program itu, Wan Hazmer turut menekankan kepentingan anak muda menerokai bidang permainan video dalam usaha meletakkan bakat dan karya Malaysia setanding di peringkat antarabangsa.

Saifuddin ketika menutup program itu turut mengakui bidang permainan video mempunyai masa depan yang cerah dan perlu diterokai lebih ramai belia.

“Kita mahu lihat kemajuan ekonomi kreatif semua bidang, daripada tradisi sampai paling terkini dan sangat menarik apa yang kita boleh peroleh tentang media baharu seperti permainan video antara industri kreatif terkini tetapi ada unsur tradisi diterapkan. Itu sesuatu sangat membanggakan,” katanya.- BERNAMA