Bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad menyampaikan watikah pelantikan sebagai calon bebas kepada Amir Khusyairi Mohamad Tanusi pada Majlis Memperkenalkan Calon Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) N. 58 Slim di Slim Permata, Slim, Perak. foto AFFAN FAUZI, 12 OGOS 2020.

SLIM – Tidak sampai seminggu mengumumkan hasrat menubuhkan parti baharu, bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad nekad untuk menghantar calon parti itu bertanding pada pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada 29 Ogos ini.

Malah, biarpun belum belum memutuskan nama parti dan lambang parti berkenaan, parti yang diasaskan oleh bekas enam Ahli Parlimen Bersatu itu menamakan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi sebagai calon atas tiket bebas.

Beliau yang merupakan peguam adalah bekas calon Ketua Bersatu Bahagian Teluk Intan.

Amir Khusyairi, 38, adalah lulusan Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Pengumuman calon itu dibuat di majlis memperkenalkan calon PRK N58 Slim di Taman Slim Permata di sini malam ini.

Selain Mahathir, anaknya yang juga presiden parti baharu itu, Datuk Seri Mukhriz yang juga bekas Timbalan Presiden Bersatu dan Pengarah PRK DUN itu, Datuk Marzuki Yahya yang juga bekas Setiausaha Agung Bersatu turut hadir.

Hadir sama adalah pemimpin dari parti komponen Pakatan Harapan, Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

Minggu lalu, Mahathir berkata, parti baharunya tidak menyokong kerajaan mahupun pembangkang.

Jelas beliau, parti itu akan jadi kuasa ketiga dalam politik negara.

Selain dua beranak itu dan Marzuki, parti itu dianggotai bekas Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik; bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah dan Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Dr. Sharuddin Mat Salleh yang juga bekas Timbalan Menteri Kerja Raya.

Sementara itu, PRK DUN Slim akan diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, pada 15 Julai lalu yang ketika PRU14 menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon BERSATU yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon Pas, Muhammad Zulfadli Zainal.

Perak mempunyai 59 kerusi DUN dan daripada jumlah itu 32 membentuk Perikatan Nasional terdiri daripada 25 BN yang kesemuanya UMNO, Bersatu (empat), Pas (tiga) manakala DAP (16), Amanah (lima), PKR (tiga), Bebas (dua) serta Gerakan (satu). – MalaysiaGazette