KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) merekodkan keuntungan pelaburan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sebanyak RM118.46 juta bagi tempoh separuh tahun pertama tahun 2020 – peningkatan sebanyak 19.66 peratus berbanding RM99 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Lonjakan keuntungan itu dipacu oleh kaedah pelaburan patuh syariah berjangka pendek dan panjang di pasaran wang tempatan yang melindungi prinsipal di samping memberikan pulangan atau keuntungan yang tinggi dan positif.

PTPTN berkata, pemantapan strategi pelaburan dengan menumpukan kepada simpanan tetap jangka panjang berjaya mengurangkan tekanan daripada pasaran ekuiti yang tidak menentu di peringkat global, selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan simpanan dalam SSPN sentiasa terjamin dan dilindungi.

Di samping itu, strategi pelaburan yang mampan serta langkah pengurusan kos secara berhemah juga dilakukan bagi memastikan kadar pemberian dividen yang kompetitif berbanding institusi-institusi kewangan yang lain.

”Sememangnya penularan wabak Covid-19 telah memberikan impak yang ketara terhadap ekonomi dan pasaran kewangan dunia, termasuk ekonomi dan pasaran kewangan tempatan.

”Namun begitu, kepercayaan dan sokongan para pendeposit SSPN kekal utuh dan sentiasa berterusan menyimpan di dalam SSPN bagi tujuan pendidikan anak-anak walau pun dalam situasi yang mencabar ini,” kata PTPTN dalam kenyataannya hari ini.

Buktinya, rekod pencapaian SSPN bagi tempoh setengah tahun pertama tahun ini terus meningkat dengan jumlah deposit yang diterima sebanyak RM682.02 juta berbanding RM425.00 juta pada tempoh yang sama tahun 2019, meningkat sebanyak RM257.02 juta atau 60.48 peratus sekali gus menjadikan deposit SSPN keseluruhan sehingga Jun 2020 berjumlah RM6.57 bilion.

SSPN merupakan instrumen simpanan yang diwujudkan oleh PTPTN, dijamin sepenuhnya oleh kerajaan serta produk patuh syariah yang menggunakan konsep Wakalah Bil Istithmar.

Selain itu, SSPN turut menawarkan pelbagai manfaat penabungan seperti pelepasan taksiran cukai sehingga RM8,000, geran sepadan sehingga RM10,000, perlindungan takaful dan dividen yang kompetitif.

Sehingga 30 Jun lalu, sebanyak 184,992 akaun baharu SSPN telah dibuka, menjadikan jumlah keseluruhan akaun yang dibuka sejak pelancarannya pada tahun 2004 adalah 4.57 juta.

Jelas PTPTN, peningkatan ini adalah hasil usaha dan kerjasama daripada semua pihak, merangkumi usaha memperkasakan pemasaran SSPN secara digital atau dalam talian (online),
pembudayaan norma baharu dalam pengoperasian serta penyampaian perkhidmatan dan maklumat kepada para pelanggan. – MalaysiaGazette