Ismail Sabri Yaakob government corruption MACC
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Seramai 184 orang individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu seramai 49 individu telah direman.

Manakala 135 lagi dikenakan kompaun.

“Jumlah besar yang dikenakan tindakan ini menunjukkan masih ramai dalam kalangan masyarakat yang ingkar terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Antara kesalahan ingkar tersebut termasuk aktiviti dalam kelab malam, aktiviti melibatkan orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal, aktiviti yang melanggar prosedur operasi standard (SOP), melanggar SOP kuarantin di rumah, tidak memakai pelitup muka, premis beroperasi lebih masa dan gagal melunaskan kos kuarantin.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Kementerian Kesihatan telah membuat 1,367 pemeriksaan mengejut bagi memeriksa individu yang kuarantin wajib di rumah.

Daripada pemeriksaan tersebut, dua individu telah dikenakan tindakan.

Dari 24 Julai sehingga 12 Ogos 2020, seramai 10,173 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua telah ditempatkan di 59 hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Perlis, Kedah dan Labuan.

Daripada jumlah itu, seramai 44 individu telah dibawa ke hospital untuk rawatan.

Manakala 2,332 individu telah di discaj dan dibenarkan pulang ke rumah. – MalaysiaGazette