Gambar Hiasan. foto FAREEZ FADZIL, 07 SEPTEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Para penyokong parti politik bagi calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim tidak dibenarkan hadir ke pusat penamaan calon, Sabtu ini.

Penamaan calon akan diadakan di Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjung Malim, Perak.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Ikmalrudin Ishak, berkata, aktiviti berkumpul dan perarakan penyokong calon bertanding, seperti yang biasa dilakukan pada hari penamaan calon, juga tidak dibenarkan di mana-mana lokasi pada hari berkenaan.

Katanya, larangan itu selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berkuat kuasa ketika ini.

“Selaras dengan PKP yang sedang berkuat kuasa, hanya calon, pencadang calon dan penyokong calon dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon.

“Walau bagaimanapun, penyokong parti politik yang diwakili oleh bakal calon tidak dibenarkan hadir ke pusat penamaan calon.

“Aktiviti berkumpul dan perarakan oleh penyokong calon bertanding juga tidak dibenarkan di mana-mana tempat sepanjang hari penamaan calon,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ikmalrudin menambah, kertas penamaan calon boleh dikemukakan antara jam 9 pagi hingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya oleh calon, pencadang dan penyokong atau mana-mana dua orang daripada mereka atau mana-mana seorang daripada mereka.

Untuk memudahkan proses penamaan calon, katanya, bakal calon diingatkan membuat semakan awal pengisian borang dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Perak, sebelum hari penamaan calon, serta membuat pembayaran deposit lebih awal.

Resit pembayaran hendaklah dibawa pada Hari Penamaan sebagai bukti bayaran.

Bagi calon yang mewakili mana-mana parti politik adalah diingatkan bahawa surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti hendaklah dikemukakan semasa menyerahkan Kertas Penamaan Calon.

“SPR berharap proses penamaan calon berjalan lancar tanpa insiden tidak baik, khususnya yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

“SPR menyeru semua calon dan parti politik sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada hari penamaan calon,” katanya. – MalaysiaGazette