Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba (dua kanan) diiringi Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah (kanan), Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Dr. Chen Chaw Min (kiri) dan Pengarah Bahagian Pengurusan Pihak Berkepentingan Payments Network Malaysia Sdn Bhd, FIrdaus Ghani (dua kiri) menyempurnakan gimik perasmian pada Majlis Perasmian Kempen Pembayaran Dengan Kad ATM MyDebit di Hospital dan Klinik Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 14 OGOS 2020.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan penilaian risiko penularan Covid-19 di Mukim Tawar, Kedah sekiranya mahu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pelaksanaan sebarang perintah kawalan adalah dalam bidang kuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan akan diumumkan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Kerajaan Negeri Kedah belum boleh umumkan TEMCO kerana kuasa mengumumkan datang daripada MKN dan kerajaan Pusat.

“Jadi segala yang perlu dibuat adalah penilaian semula kajian risiko di tapak dan cadangan untuk mengadakan TEMCO atau PKPD boleh dilaksanakan sekiranya kita sudah dapat kelulusan daripada MKN,” katanya selepas merasmikan Kempen Pembayaran dengan Kad ATM MyDebit di Hospital dan Klinik Kesihatan KKM hari ini.

Adham diminta mengulas mengenai kenyataan Exco Keraiaan Negeri Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman yang berkata Kedah sedia melaksanakan TEMCO di Mukim Tawar di Baling, berikutan kluster baharu Covid-19 yang dikesan di kawasan itu.

Dr Mohd Hayati bagaimanapun berkata sebarang keputusan lanjut pelaksanaannya bergantung keputusan MKN.

Tambah Adham lagi, sebelum apa-apa keputusan untuk melaksanakan TEMCO dibuat, kerajaan Pusat akan melihat keadaan tertentu pada satu-satu kawasan yang hendak diisytiharkan sebagai kawasan kuning atau merah.

“Merah kalau kes dalam satu hari itu ada sampai 40 kes ke atas. Untuk satu hingga 39 kes dia kawasan kuning.

“Saya ambil maklum bahawa di Kedah kita sudah dapati kawasan kuning bertambah dan hari ini dan semalam di Padang Maheja di Kulim, Baling, Mukim Tawar dan Kuala Muda,” katanya.

Dalam pada itu, Adham menambah, satu penilaian semula perlu dibuat oleh pihaknya sebelum mengambil keputusan untuk melaksanakan TEMCO di Mukim Tawar.

“Kita buat penilaian semula dan segala persediaan perlu dibuat di MKN Kedah yang mana Menteri Besar sendiri pengerusinya tetapi perlaksanaan untuk melaksanakan TEMCO akan kita putuskan bersama,” katanya lagi.

Semalam, KKM menerusi Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan satu lagi kluster baharu Covid-19 dikesan di Kedah yang sehingga kini sudah menjangkiti sembilan individu daripada satu keluarga.

Untuk rekod, Kedah mempunyai satu lagi kluster iaitu Kluster Sivagangga apabila pemilik kedai Nasi Kandar Salleh di Napoh, Nezar Mohamed Sabur Batcha, 57 mengakibatkan sekurang-kurangnya 45 individu didapati positif Covid-19 membabitkan kes di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang di bawah Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga. – MalaysiaGazette