Peguam, Datuk Shaharudin Ali (kanan) bercakap kepada media selepas anak guamnya yang merupakan pemilik peniagaan Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid atau Asri Janggut (kiri) memberi keterangan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) berhubung kenyataan menghina Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 14 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Mohd Asri Hamid atau dikenali Asri Janggut akan menyambung semula keterangan berhubung kenyataan berbaur menghina polis dan tentera selepas solat Jumaat petang ini.

Salah seorang daripada dua peguam yang menemaninya ke Bukit Aman, Ahmad Amzar Ahmad Azlan berkata, Pengasas Hot Burger itu diminta tampil untuk memberi keterangan kepada Unit Siastaan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman berhubung beberapa laporan polis berkenaan kenyataannya bahawa anggota polis dan tentera tidak bersolat.

Menurut beliau, pihaknya turut memberi kerjasama penuh kepada polis sepanjang sesi merakam keterangan Mohd Asri.

“Kami akan datang balik pada pukul 3 petang nanti sebab kena sambung kenyataan hampir perkara sama tapi dua fakta berbeza iaitu dua video tular yang mana salah satu adalah komen wawancara FB live Sinar Harian dan komen keduanya dalam sidang media PPIM,” katanya selepas keluar dari Bukit Aman tengahari tadi.

Bagaimanapun seorang lagi peguam Datuk Shaharudin B.Ali pula mahu Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengikuti jejak langkah Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tan Sri Affendi Buang yang menerima permohonan maaf Mohd. Asri.

“Saya ada perkembangan terbaharu sebagaimana ramai sedia maklum bahawa kami sangat berbesar hati kerana menerima surat rasmi dari Panglima ATM Tan Sri Affendi Buang yang telah menerima permohonan maaf secara terbuka dari Asri.

“Saya membaca surat itu dan jelas menyatakan bahawa mungkin satu kesilapan dan kedua-dua pihak ambil ikhtibar dan saling memaafkan dalam situasi ini.

“Saya bagi pihak Asri memohon jasa baik Ketua Polis Negara (KPN) untuk berbesar hati melakukan perkara sama (menerima kemaafan) sepertimana dilakukan Panglima kita,” katanya.

Pemilik peniagaan Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid atau Asri Janggut (tengah) ketika keluar bersama peguam, Datuk Shaharudin Ali (kanan) dan Ahmad Amzar Ahmad Azlan (kiri) selepas memberi keterangan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) berhubung kenyataan menghina Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 14 OGOS 2020.

Menurutnya, perkara berkenaan tidak besar sebaliknya cuma mengingatkan orang Islam sentiasa menjaga solat.

Beliau tidak menolak kemungkinan perkataan yang digunakan anak guamnya itu tidak sesuai yang mungkin dipandang serong.

“Sebenarnya niatnya adalah niat baik dan jauh sekali niat yang dikatakan di bawah Sesyen 505 (b) dan 505 (c) Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Katanya, pada petang ini pegawai bernama Inspektor Sathish akan menyoal siasat Mohd Asri.

“Tadi disiasat oleh Sisten Superintendan Zainul, manakala pukul 3 petang akan dikendalikan oleh Inspektor Sathish tapi siasatan agak sudutnya berlainan.

“Siasatan yang bermula sekitar 11.10 pagi tadi kami sempat memberikan segala dokumen sokongan kepada USJT JSJ Bukit Aman dalam kes ini,” ujarnya.

Tegas beliau, Mohd Asri dipanggil untuk dirakam keterangan berkaitan dua isu berlainan iaitu satu berkaitan dakwaan kedai judi haram, rokok seludup termasuk daripada sudut majlis tempatan yang mengambil tindakan sebelum dan selepas kenyataa Mohd Asri manakala keterangan keduanya ialah mengenai anggota polis dan tentera tidak bersolat.

“Untuk makluman semua, kita juga sedang siasat tindak tanduk majlis tempatan dan jika kita rasakan mereka telah melampaui batasan tertentu menurut undang-undang maka saya akan ambil tindakan.

“Kita tidak boleh sekadar peluk tubuh iaitu perkara-perkara yang mungkin salah di sisi undang-undang dibiarkan begitu sahaja tanpa tindakan.

“Saya memberi notis awal bahawa tidak boleh menzalimi sesiapa pun di bawah undang-undang yang mana ada kenyataan yang bercanggah dari pihak sebelah bahawa tindakan menyusul selepas laporan Asri dan ada pula sebaliknya,” ujarnya. – MalaysiaGazette