Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) akan membuat rombakan besar-besaran dalam struktur kejurulatihan, termasuk penambahan atlet baharu dalam skuad negara pada tahun hadapan.

Naib Presiden PABM, Amirul Amizan Ibrahim, bagaimanapun berkata pihaknya pada masa ini tidak dapat mendedahkan sebarang butiran lanjut mengenai perubahan tersebut ekoran kesemua jurulatih masih terikat dengan kontrak sehingga Disember depan.

“Akan ada perubahan besar-besaran yang akan dilakukan MSN dan PABM demi kebaikan sukan angkat berat negara. Kalau ikutkan, semua jurulatih akan tamat kontrak pada Disember ini. Melalui perbincangan dengan MSN, kita bersetuju akan ada perubahan jurulatih dan juga kontrak jurulatih disambung.

“Selepas kontrak jurulatih tamat pada Disember, kita akan umum pelantikan baharu dan penyambungan kontrak jurulatih sedia ada,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja MSN di sini, hari ini.

Mengenai kejohanan antarabangsa yang akan disertai skuad negara, Amirul Amizan berkata badan induk itu masih menunggu maklum balas daripada Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) sebelum memutuskan penyertaan ‘badang’ negara.

“Kita masih menunggu keputusan daripada IWF mengenai kejohanan antarabangsa kerana walaupun kita hampir bebas daripada COVID-19, negara lain masih belum bebas.

Mungkin ada satu kejohanan dalaman pada tahun ini sebagai kejohanan pemanas badan, namun butiran lanjut masih dalam perbincangan termasuk negeri mana akan jadi tuan rumah acara itu,” katanya.- BERNAMA