Pemilik peniagaan Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid atau Asri Janggut hadir bersama peguam, Ahmad Amzar Ahmad Azlan (kanan) bagi memberi keterangan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) berhubung kenyataan menghina Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 14 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Pengasas Hot Burger, Mohd Asri Hamid atau tiba di Bukit Aman untuk memberi keterangan berhubung kenyataan menghina Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam wawancara pada portal media tempatan.

Beliau tiba ke pekarangan pintu utama Pondok Pengawal Keselamatan ibu pejabat PDRM itu tepat 10.25 pagi tadi.

Mohd Asri yang berpakaian kemeja berwarna putih dan berseluar hitam serta berkopiah putih ditemani peguamnya, Datuk Shaharudin Ali dari firma guaman Shaharudinali Azfarazmi &Co menaiki kereta Honda Accord Putih.

Shaharudin berkata, Mohd Asri dipanggil untuk memberi keterangan di bawah Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman hari ini.

“Saya pelik sebab kes ini melibatkan dia disiasat kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hina polis dan tentera dalam wawancara khas yang tular menerusi dua video sejak beberapa hari lalu tetapi disiasat 505 (c) Kanun Keseksaan.

“Sepatutnya 505 (a) Kanun Keseksaan, tapi pelik polis 505 (c) dan saya hadir sebagai peguam dia untuk kes ini,” katanya sebelum memasuki pondok pengawal keselamatan untuk mendapatkan pas bersama Asri.

Kira-kira 20 pengamal media  berkumpul seawal 8.30 pagi selepas menerima maklumat beliau dikehendaki hadir ke Bukit Aman untuk diambil keterangan.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, dua kertas siasatan telah dibuka polis untuk menyiasat kenyataan Mohd Asri berbaur menghina polis dan tentera yang tular dalam dua video berasingan membabitkan satu wawancara kepada sebuah portal berita.

Dua video berkenaan ialah wawancara di Facebook Sinar Harian yang bertajuk Isu Judi : Fitnah atau Realiti yang berdurasi sejam 14 minit dan satu lagi wawancara bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia(PPIM) yang berdurasi 50 minit 53 saat.

Kata Huzir, video-video yang disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) mengesyaki Mohd Asri mengeluarkan kenyataan bersifat jelik dan menghina terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia(ATM). – MalaysiaGazette