Timbalan Pengerusi SPR, Dr. Azmi Sharom bercakap pada sidang media semasa melawat persiapan terakhir Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil N. 58 Slim menjelang hari penamaan calon pada esok hari di Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjung Malim, Perak. foto AFFAN FAUZI, 14 OGOS 2020

TANJUNG MALIM – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan melakukan penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) pada hari mengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada 29 Ogos ini.

Azmi yang sedang menjalankan tugas Pengerusi SPR berkata, tindakan itu tidak akan lagi melibatkan penggunaan sarung tangan plastik dan berus dalam kalangan pengundi yang dilaksanakan di PRK Chini sebelum ini.

Sebaliknya jelas beliau, penggunaan cecair pembasmi kuman tangan akan kerap digunakan bagi mempercepat proses mengundi.

“Pada hari mengundi, selain diwajibkan memakai pelitup muka dan melalui proses saringan suhu, pengunaan cecair pembasmi kuman akan dilakukan dua kali berbanding sekali di PRK Chini.

“Pengundi perlu melalui penggunaan cecair pembasmi di pintu masuk saluran dan selepas proses mencelup jari dengan dakwat kekal iaitu sebelum menerima kertas undi.

“Penambahbaikan ini dilakukan bagi mempercepatkan proses mengundi berbanding memakai sarung tangan plastik dan berus calitan yang mengambil masa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Daerah Tanjung Malim di sini hari ini.

MDTJ merupakan pusat penamaan bagi calon PRK DUN Slim esok.

Mengulas lanjut, Azmi turut mengesahkan sebanyak 12 borang pencalonan sudah dibeli sehingga hari ini.

Namun beliau enggan memperincikan siapa yang membeli kerana kebiasaannya terdapat parti atau bakal calon membeli borang yang lebih.

Dalam pada itu, Azmi juga memberitahu SPR telah menambah seramai 869 kakitangan di Slim berbanding lebih 400 di Chini.

Jelas beliau, tindakan itu dilakukan bagi meningkatkan perkhidmatan pihaknya kepada orang ramai.

Sementara itu, PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lalu.

Setakat ini dua calon sudah diumumkan untuk bertanding bagi kerusi DUN tersebut iaitu masing-masing daripada BN dan Bebas.

BN mengemukakan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz manakala calon Bebas yang memakili parti baharu, Parti Pejuang Tanah Air menamakan seorang peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi sebagai calon mereka.

DUN Slim memiliki seramai 23,094 pengundi berdaftar. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Patutnya lebih fokus selesai masalah beratur panjang, bukan bende2 remeh temeh macam ni!

    Dah lama sangat ni!

    Dulu terpekik terlolong tambah baik itu ini, macam bagus sangat! Sekarang tak nampak apa2 pun penambahbaikan?

  2. Sebab nak cepatkan proses dan tak beratur lama la ..cara lama di ubah.. Baca sebab2nya … Tak baca ka bro?? Kalau baca biar abis…

  3. Apa jua proses yang di ubah pastikan tiada pengundi yang datang mendapati namanya telah dipotong sebab sudah membuang undi seperti yg berlaku sebelum ini…

Comments are closed.