Nor Shamsiah Mohd Yunus

KUALA LUMPUR – Cadangan untuk meningkatkan had statutori hutang negara sehingga 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 55 peratus pada masa sekarang adalah bersifat sementara.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, kenaikan had itu boleh diuruskan oleh kerajaan kerana tahap hutang semasa krisis bukanlah sesuatu yang baharu memandangkan Malaysia pernah berbuat demikian.

Menurutnya, pinjaman kini jauh lebih murah, oleh itu kesan nisbah pembayaran hutang juga lebih rendah.

“Malaysia tidak pernah berdepan dengan pembayaran hutang yang membabitkan denominasi ringgit. Malah, Malaysia tidak ada hutang pertukaran asing yang akan mendedahkan negara kepada hutang tinggi memandangkan nilai mata wang merosot,” katanya pada sidang media bagi mengumumkan prestasi suku tahun kedua 2020.

Jelasnya, menaikkan had statutori hutang adalah langkah bijak daripada semata-mata mahu mengekalkan paras hutang.

Jika mempertahankan paras hutang, ia boleh merosakkan kapasiti ekonomi, sekali gus merosakkan dalam tempoh jangka panjang. – MalaysiaGazette