Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 55 pemilik premis yang gagal menyediakan peralatan/catitan keluar masuk ditahan polis semalam dan seorang penggunting rambut yang gagal memakai sarung tangan semasa menggunting rambut antara yang ditahan kerana ingkar arahan PKP.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ia merupakan sebahagian daripada 129 individu yang telah ditahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam kerana ingkar arahan PKP.

Antara kesalahan lain yang telah dilakukan adalah adalah aktiviti dalam pub/kelab malam (21), tidak memakai pelitup muka (21) serta aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (31).

“Semalam (14 Ogos 2020), PDRM telah menahan 129 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP. Daripada jumlah itu, seramai 20 individu telah direman manakala 109 individu pula dikenakan kompaun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Ismail Sabri, sebanyak 4,875 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 16,801 anggota telah membuat pemantauan di 3,900 pasar raya, 5,283 restoran serta 1,681 penjaja, 1,523 kilang, 3,568 bank dan 1,095 pejabat kerajaan. Juga dipantau, sebanyak 1,230 terminal pengangkutan darat, 235 terminal pengangkutan air serta 114 terminal pengangkutan udara telah dijalankan, semalam.

Dalam pada itu, sejak 24 Julai sehingga 14 Ogos 2020, seramai 11,236 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua telah ditempatkan di 60 Hotel dan 5 Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Perlis, Kedah, dan Labuan.

Daripada jumlah itu, seramai 44 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan dan 2,992 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang.- MalaysiaGazette