Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien

KUALA LUMPUR – Keputusan Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk normalisasikan hubungannya dengan Israel adalah hak kedaulatan negara tersebut.

Bagaimanapun menurut Menteri Luar, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien, pendirian Malaysia terhadap isu Israel tetap konsisten iaitu menentang pelan haram dan unilateral oleh rejim Israel untuk melaksanakan pengilhakan sebahagian wilayah Palestin yang diduduki di Tebing Barat.

“Malaysia yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel turut mengulangi pendirian yang dipegang sejak sekian lama bahawa pembentukan negara berdaulat Palestin yang bebas melalui penyelesaian dua negara (two-State Solution), berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Palestin merupakan satu-satunya penyelesaian terhadap konflik Palestin-Israel.

“Malaysia akan terus menyokong segala usaha demi mencapai penyelesaian yang adil dan berkekalan, khususnya menerusi rundingan melibatkan pihak-pihak yang berkaitan, berdasar kepada undang-undang antarabangsa serta resolusi-resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang relevan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Israel dan UAE menyatakan persetujuan untuk memulihkan hubungan diplomatik di antara kedua-dua negara.

Delegasi Israel dan UAE akan bertemu dalam beberapa minggu lagi untuk menandatangani perjanjian dua hala dalam pelbagai bidang. – MalaysiaGazette